Tuesday 17 January 2012


Artikel pilihan: 11 Langkah Mencapai Apa Sahaja Matlamat 2012 ANDA!





Artikel pilihan: 11 Langkah Mencapai Apa Sahaja Matlamat 2012 ANDA!

Oleh: Irfan Khairi




1:  Keinginan


Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai 
apa jua matlamat yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk
 mencapai matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah 
untuk anda mencapai matlamat tersebut.


Keinginan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat 
ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang 
anda letakkan untuk diri anda sendiri.


Punca utama seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut 
kepada kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak
 akan mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. 
Keinginan akan membawa anda untuk mengambil langkah pertama tersebut.
Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.


2: Keyakinan


Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini "Jika kau
 fikirkan kau boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha 
mu tidak menentu"


Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyi nya amat cliché, tetapi lagu yang 
simple ini mengandungi mesej yang amat besar!


Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai 
keyakinan di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan 
keyakinan yang tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak 
menoleh kebelakang lagi.


Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub... anda tidak
 perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sendiri 
sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai... anda perlu tunjuk bahawa 
cita-cita anda tercapai- itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai.


Dalam menetapkan matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang 
realistik
 akan membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai 
contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa 
setahun mungkin tidak 
realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda sebanyak 20% dalam 
masa setahun adalah lebih realistik!


Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda 
apabila ianya tidak tercapai.


3: Tulis matlamat anda


Ini AMAT penting. Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah 
berapa kali saya mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan 
dewasa yang menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin
 tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.


Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri 
anda sendiri. Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa 
mengingati anda secara sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikan
nya.


Matlamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila 
anda menulis matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata- boleh di sentuh.
 Anda telah membawa matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat 
mengenggamkannya!


4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi


Apa yang anda akan dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan 
segala-galanya. Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda
 menyenaraikan motivasi-motivasi yang akan mebakar semangat anda untuk 
terus berusaha dan mencapai kebaikan tersebut.


Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda 
akan kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut.
 Berikan sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah 
pulangan yang anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda 
sekiranya matlamat itu tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat anda 
untuk mencapaikannya...


5: Cermin kan diri sendiri


Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika 
ini, apakah keadaan anda. Anda perlu ketahui di mana anda berada kini untuk 
mencapai matlamat yang anda telah tetapkan.

Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh kerana itu adalah titik 
permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, 
lebih jelas anda dapat melihat jalan ke arah pencapaian matlamat.

Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil 
masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya 
matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu ketahui
 berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

6: Tetapkan deadline


Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang 
ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline 
yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?

Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana 
takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya 
tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri... oleh itu, mereka 
biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa 
sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai
 matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja... berikan satu tarikh 
deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan
 lebih realistik dalam mencapai matlamat.

7: Ketahui rintangan


Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di 
hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.

Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu perjalanan mencari 
ilmu. Setiap rintangan yang anda temui walaupun sekecil manapun akan 
memperbaiki diri anda untuk rintangan-rintangan yang lebih besar di masa 
hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang berjaya didunia adalah 
tergolong daripada mereka yang berpengalaman menghadapi rintangan-
rintangan tersebut.

Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala
 rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah 
rintangan-rintangan yang akan muncul.

8: Ilmu tambahan


Ketahui Ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk 
mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang merupa
kan anugerah yang paling istemewa sekali.

Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang anda perlu ketahui untuk 
mencapai matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan yang anda perlukan? 
Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan 
orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah 
maklumat yang paling penting atau kebolehan yang paling penting untuk 
andapunyai dalam mencapai matlamat anda?

Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua  yang anda perlu tahu 
dalam mencapai matlamat anda.

9: Perancangan


Kata pakar motivasi "Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal"

Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi- 
seperti kontraktor memerlukan plan untuk membina bangunan yang gagah 
berdiri. Anda juga perlu plan untuk mencapai menara gading.

Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam masa 1 bulan, apa 
yang anda perlu buat? Sekiranya ia tidak menjadi, apakah alternatif yang lain?

Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ianya akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. 
Sekiranya anda merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, 
hebatlah pulangan yang anda akan terima.

Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini 
adalah mereka yang sering ditpu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, 
SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang sendiri.

10: Bina gambaran


"A picture paints a thousand words". Beri gambaran yang jelas di fikiran anda 
bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari 
sekarang. Atau, 10 tahun dari sekarang.

Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga akan 
membakar semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia
 dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran
 anda dengan gambaran kejayaan anda di masa hadapan.

Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, 
anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11: Janji pada diri sendiri...


Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan yang akan datang. Tidak 
kira apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali 
putus asa! Sekrianya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu 
kegagalan- usah risau. Kejayaan adalah perintis untuk mencapai apa jua 
kejayaan- oleh sebab itulah saya gelarkannya sahabat karib.

Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa kegagalan. Lagi banyak 
kegagalan anda temui, ianya bermaksud lagi hampir kejayaan kepada anda. 
Jangan putus asa oleh kerana kejayaan mungkin sedang menunggu di sebalik 
kegagalan itu.

Berita baiknya adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan 
pengalaman sendiri. Lebih banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, 
lebih banyak anda dapat pelajari. Anda akan mempelajari lebih banyak 
dari sesuatu kegagalan. Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara 
anda- jangan pula ikut cara yang sama oleh kerana cara yang sama akan 
membawa kegagalan seterusnya!

Kesimpulan


Kesemua formula kejayaan ini perlu di implementasikan setiap satu. Ini 
adalah "blue print" orang-orang yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula
 kejayaan saya sendiri sehingga hari ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai 
matlamat baru, saya akan rujuk kembali formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.